Buku Denaihati

27 June 2013

Yuna di Istana Budaya September ini

بسم الله الرحمن الرحيم


Penyanyi yang kini menempa nama di Amerika Syarikat, Yunalis Zarai atau Yuna bakal mengadakan persembahan buat julung kalinya di Istana Budaya dengan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pada 6 hingga 8 September akan datang.
Pelantun lagu "Dan Sebenarnya" itu nyata teruja apabila mendapat jemputan pihak Istana Budaya untuk membuat persembahan di pentas bertaraf antarabangsa itu.
"Apabila saya diberitahu oleh pihak pengurusan saya tentang jemputan pihak Istana Budaya untuk membuat konsert di sana, saya berasa amat teruja kerana peluang sedemikian bukan mudah untuk diperolehi. Apatah lagi bersama OSK," katanya menerusi sidang video Skype dari Los Angeles pada sidang media di Istana Budaya, pagi Khamis.
Yuna turut berterima kasih kepada pihak Istana Budaya kerana memberi ruang dan peluang kepada pemuzik muda sepertinya untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij itu.
"Saya masih menganggap diri saya masih baru walaupun sudah tujuh tahun saya berada dalam dunia muzik. Untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya bukannya senang kerana anda harus setanding seperti Dato' Siti Nurhaliza atau Jamal Abdillah. Bagi budak baru seperti saya ini, ia sesuatu yang cukup besar untuk diri saya," tambahnya lagi.

Yuna di Istana Budaya September ini

Yuna yang masih belum memutuskan senarai lagu yang bakal dipersembahkan pada acara tersebut akan beraksi selama dua jam.
"Apa yang penting peminat akan terhibur dengan pemilihan lagu serta persembahan," ujar Yuna lagi yang turut bercadang untuk menjemput beberapa artis undangan.
Informasi lanjut tentang konsert Yuna termasuk harga tiket akan diumumkan oleh pihak Istana Budaya tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 26 tahun ini sedang sibuk dengan proses pembikinan album keduanya yang dijangka rilis pada awal Oktober ini.




1 comment: