Rembau: Hasrat seorang pemuda menziarahi jenazah neneknya tidak kesampaian apabila lelaki itu meninggal dunia dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 32 Jalan Seremban-Tampin di Kampung Lada, Chengkau, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Syamir Baba, 21, yang bekerja kontrak sebagai pemandu van Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, Selangor bergegas pulang sebaik menerima panggilan daripada ahli keluarga memaklumkan neneknya, Jamilah Tahir, 83, yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, meninggal dunia jam 12 tengah malam kelmarin.
Jenazah Jamilah kemudiannya dibawa pulang ke Kampung Tenai Air Gelugor, Gemencheh, di sini.
Abang mangsa, Mohd Asri, 31, berkata, sebelum kejadian itu dia sempat berjumpa adiknya di rumah keluarga mereka di Kampung Senama Tengah, Rembau untuk mengambil pinggan mangkuk yang akan dibawa ke kampung nenek mereka itu untuk majlis tahlil.
Menurutnya, arwah Muhammad Syamir berjanji pulang ke Gemencheh bersama kakak, Fadilah, 32, yang ketika itu dalam perjalanan dari Port Dickson. “Namun disebabkan tidak mahu menunggu lebih lama, arwah yang juga anak kesembilan daripada 11 beradik kami itu mengambil keputusan menunggang motosikal sendirian. Arwah adik berkeras tidak mahu menumpang kereta sesiapa sedangkan saya pun dalam perjalanan ke rumah arwah nenek. “Pada hari kejadian arwah adik bertolak terlebih dahulu. Saya pula siapkan barang keperluan untuk dibawa ke rumah arwah nenek. Sebaik tiba di satu selekoh saya terkejut apabila melihat sekujur tubuh melintang di tengah jalan dan terpandang motosikal ditunggangi arwah. “Saya memberhentikan kereta dan pergi ke arahnya. Ketika itu saya terdengar nafasnya tersekat dan telinga sudah berdarah. Saya cuba mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah namun selepas itu nafas arwah terus terhenti,” katanya.
Ibu mangsa, Noridah Othman, 58, berkata, kejadian kehilangan dua insan tersayang dalam satu masa sangat mengejutkan dan sukar dipercayai, namun itulah kenyataan terpaksa dihadapi walaupun rasa sedih kematian ibu belum hilang.
“Sebaik mengetahui mengenai kejadian yang menimpa arwah, menggigil kepala lutut saya dan seolah-olah tidak percaya dengan berita diterima. Arwah seorang anak yang manja dan suka mengemas rumah. Sejak bekerja awal tahun lalu, setiap minggu pasti dia pulang ke rumah,” katanya.
Noridah berkata, sejak dua minggu lalu arwah menunjukkan perubahan apabila tidak mahu mencium pipinya selepas bersalam apabila meminta diri untuk pulang ke rumahnya di Kajang, Selangor.
“Memang terdetik dalam hati saya kenapa arwah enggan mencium pipi, tetapi diamkan saja. Mungkin ini petanda awal dia pergi jauh dari saya. Arwah dikebumikan bersebelahan neneknya,” katanya.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati ketika dalam perjalanan dari arah Rembau ke Tampin motosikal ditunggangi mangsa dipercayai terbabas di selekoh jalan. Ketika itu keadaan jalan licin selepas hujan lebat sebelum kemalangan berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat dan jenazah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tenai Air Gelugor, Gemencheh.
Terima Kasih :)
saya pun baru balik melawat kawan kat hopsital..terlibat ngan accident..patah lg dan sorang meninggal.
ReplyDeleteInna lillahi wa inna ilayhi raji'un
Delete