Kuala Lumpur: Transformasi Bidang Vokasional di bawah kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menyaksikan Sekolah Menengah Vokasional Ekonomi Rumah Tangga (SMV-ERT) Setapak, Jalan Genting Klang, di sini, meningkat fungsinya.
Ia kerana bermula awal tahun ini, Kementerian Pelajaran mewujudkan Kolej Vokasional (KV) di kawasan sama di bawah pentadbiran di SMV itu yang menawarkan kursus peringkat diploma selain sekolah vokasional harian biasa.
Tawar Lima Kursus.
Pengarahnya, Norhana Mustapha, berkata KV ERT Setapak menawarkan lima kursus iaitu Seni Kulinari; Fesyen dan Reka Bentuk Pakaian; Kosmetologi; Sistem Komputer dan Rangkaian serta Pendidikan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak, membabitkan 388 pelatih.
Secara umum, katanya, institusi terbabit kini mempunyai dua entiti iaitu sekolah harian vokasional yang menempatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan KV yang menawarkan kursus peringkat diploma.
“Kita juga mempunyai perniagaan di bawah Program Keusahawanan Sekolah atau ‘School Enterprise Programme’ membabitkan lima bidang yang ditawarkan di KV yang mana pendapatannya digunakan untuk pembangunan SMV dan kolej itu sendiri,” katanya.
Katanya, kelima-lima program perniagaan sekolah itu aktif menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menjana kewangan.
Pro Image Enterprise yang dimiliki pelajar kosmetologi contohnya, memiliki salun dan bilik rawatan sendiri serta menjalankan aktiviti perkhidmatan rawatan muka, kuku, kulit kepala dan rambut di situ.
Sementara, Jemari Emas Enterprise pula membabitkan pelajar kursus fesyen, aktif menghasilkan rantai kunci, kraf tangan dan seluar tidur kanak-kanak untuk jualan, menyertai pameran anjuran institusi luar dan mengumpul dana melalui jualan ketika Hari Keusahawanan.
Program keusahawan lain adalah pembukaan pusat asuhan kanak-kanak, Taska Mutiara Iman yang dikendalikan pelajar kursus pendidikan awal kanak-kanak, KOM Technology Enterprise kelolaan pelajar kursus sistem komputer dan rangkaian serta Seri Selera Enterprise milik pelajar seni kulinari. Semua perniagaan itu dilakukan di premisnya di Setapak.
Beliau berkata, sistem pemarkahan dan penilaian pelajar KV adalah sama seperti institusi pengajian tinggi lain menggunakan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang dinilai setiap semester. Ada lapan semester di KV itu.
“Peralatan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di KV juga lebih lengkap serta moden dan ia berupaya merangsang minat mereka untuk belajar,” katanya.
Buka Mata Ibu Bapa.
Norhana berkata, pelaksanaan KV terbukti menarik minat dan membuka mata ibu bapa terhadap kursus vakasional yang mendorong pelajar menceburi bidang vokasional dan kemahiran.
Sebagai bukti katanya, kira-kira 6,180 permohonan diterima pihaknya tahun ini, tetapi hanya 195 orang calon dipanggil hadir sesi temu duga fasa pertama dan 516 orang lagi pada fasa kedua yang diadakan pada Januari lalu.
Bagaimanapun, hanya 388 tempat ditawarkan bagi lima kursus berkenaan.
Sebagai antara 15 KV perintis, Norhana berkata, pihaknya komited memastikan kerangka yang disusun itu dapat dimanfaat sebaik mungkin bagi memastikan aliran kemahiran itu terus menjadi pilihan pelajar, sama ada lelaki atau perempuan.
INFO Kolej Vokasional SMV-ERT Setapak.
- Menyediakan 15 bengkel untuk 4 Kursus.
- Mempunyai 2 Restoran Kursus Seni Kulinari.
- Program Keusahawanan buka 2 Pusat Asuhan Kanak-kanak.
- KV ERT Setapak mempuyai 388 Pelatih.
No comments:
Post a Comment